Selasa, 24 Desember 2013

Raja Muda Perlis Lancar Promosi Masakan Di Doha


KANGAR – Usaha Perlis menggamit pelancong dari Timur Tengah khususnya di Qatar, diteruskan dengan promosi kali kedua masakan popular masyarakat Perlis di negara itu.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan promosi selama dua minggu itu di Restoran Seri Kebaya yang terletak di Souq Waqif, Doha, pada Khamis malam.

Menurut kenyataan media Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) hari ini, antara juadah yang disajikan ialah kerabu perut, daging masak lemak dengan rebung, cucur udang, daging cincang daun selasih, pulut mempelam dan pulut udang.

Restoran Seri Kebaya dimiliki oleh Sunyta Ali, 42, anak jati Pulau Pinang.

Restoran yang beroperasi sejak 2009 itu terletak di tengah-tengah Souq Waqif iaitu lokasi terkenal dalam kalangan pelancong dan juga masyarakat tempatan di Doha.

Promosi itu adalah inisiatif Tuanku Syed Faizuddin dengan kerjasama Tourism Malaysia Perlis dan YTSP. Tahun lalu promosi itu diadakan di Hotel Holiday Villa.

Dalam titah pelancarannya, Raja Muda Perlis berkata negeri itu bukan saja terkenal dengan kelazatan juadahnya tetapi juga indah dari segi pemandangan dan budaya.

“Pelancong asing yang datang pasti terpesona,” titah Tuanku Syed Faizuddin yang juga Pengerusi YTSP.

Hadir sama mengiringi baginda ke pelancaran itu ialah Timbalan Ketua Perwakilan Malaysia di Kedutaan Malaysia di Qatar, Mohd Noor Zaky Mohd Nasir. – BERNAMA

0 komentar:

Posting Komentar